Salam semua...
Petua ni saya dapat dari kawan yang emaknya mengalami stroke.
Ambil halia bara, blend bersama asam jawa ( cari asam jawa adabi yg tak ada biji tu).
Sapu dianggota badan yang lemah tu.
Cubalah..mudah2an ianya berkesan. Kalau berkesan, sila tinggalkan komen untuk kita kongsikan bersama.
Tuesday, October 30, 2012
Wednesday, October 24, 2012
Mari kita puasa pada hari Arafah
Kelebihan puasa Hari Arafah
Dan Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari ‘Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)Didalam riwayat lain Nabi saw bersabda :
“Puasa hari Arafah, sesunguhnya aku berharap
Allah swt agar menghapuskan dosa setahun yang lepasnya dan tahun yang
sebelumnya” – (Hadith riwayat Tirmidzi)
Aidil Adha pada tahun ini jatuh pada hari Jumaat 26 Oktober 2012, maka hari Arafah jatuh pada hari Khamis 25 Oktober 2012.
Semoga kita sama2 mengambil peluang besar ini dan dikurniakan ganjarannya dari Allah s.w.t. Amin...
Wednesday, October 03, 2012
BERSANGKA BAIK DEMI CINTA
Salam semua.
Saya kongsikan artikel yang saya baca dari blog ustaz Pahrol. Moga ianya membantu hati2 yang sedang berada di persimpangan dalam menghadapi kemelut dan ujian dalam berumah tangga.
Usia perkahwinan sudah lebih tiga puluh tahun.
Mereka sudah punya tiga orang cucu. Namun siisteri meluahkan rasa hatinya
dengan berkata, “saya sudah letih berdepan dengan kerenah suami. Sikap sambil
lewanya sangat memeningkan kepala. Saya benar-benar berada di persimpangan,
ingin minta agar perkahwinan ini dibubarkan atau meneruskannya. Apa pandangan
saudara?”
“Teruskan perkahwinan,” jawab saya dengan pasti.
Saya teringat ungkapan lama yang menjadi pegangan diri sejak dahulu. Ungkapan
itu berbunyi: “Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Tetapi jika
jalan sudah benar namun pelbagai masalah menghalang, jangan berpatah balik,
teruskan perjalanan!”
“Mengapa pula?” tanya siisteri.
“Jika puan boleh sabar selama 30 tahun, hanya ada
beberapa tahun sahaja untuk terus bersabar. Umur kita tidak lama. Sabarlah
dalam bersabar. Yang penting cubalah positifkan pemikiran dan perasaan. Puan di
jalan yang betul, cuma rintangannya ada. Puan mesti atasi dan teruskan
perkahwinan ini. ”
“Saudara cakap senang tetapi bagaimana hendak terus
positif jika dia terus bersikap negatif?”
Saya senyum. Ya, tulisan kali ini saya tujukan
untuknya dan untuk saya juga serta untuk kita semua. Sebenarnya pemikiran yang
betul adalah syarat untuk kita bersikap positif. ‘Right mental attitude’
sangat penting dalam melayari bahtera rumah tangga. Sikap yang betul perlu
untuk menghadapi cuaca rumah tangga yang tidak menentu. Bagaimana untuk tenang
dan bahagia di dalam diri tidak kira apa yang sedang dihadapi di luar diri
kerana apa yang lebih utama ialah ‘what happens in you’ bukan ‘what
happens to you.’
Untuk mengekalkan cinta perlu ada sikap positif.
Tanpa sikap yang positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan akan berkecai.
Berikut adalah beberapa langkah praktikal untuk membina pemikiran yang positif
seterusnya membentuk sikap yang positif:
- 1. Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.
Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan
dalam hidup kebanyakannya manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak.
Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “aku sepatutnya tidak dilayan
begini.” Dalam kebanyakan situasi, kita sering tidak mendapat apa yang kita
jangkakan dan harapkan. Betul bukan? Selagi kita hidup kita akan alami pelbagai
situasi yang mana susu yang kita berikan tetapi tuba kita terima sebagai
balasannya.
Di dalam rumah tangga jangan mengharapkan
kesempurnaan pada pasangan kita. Bunga yang kita berikan, jangan mengharap
bunga sebagai balasannya. Tetapi apakah kerana tidak mendapat balasan lalu kita
berhenti menghulurkan kebaikan? Jangan! Fokus pada tanggung jawab – sebagai
suami atau isteri kita dituntut oleh syariat untuk melaksanakan tanggung jawab.
Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita menuntut hak kita. Ah,
apakah ini bererti kita akan terus menjadi mangsa?
Jawabnya, tidak. Kita akan lebih tenang,
percayalah. Adalah tidak bijak untuk terus membuang masa dan tenaga memikirkan
tentang apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu dan patut kita
lakukan? Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang
sepatutnya berbuat begini atau begitu… Pada hal, pemikiran yang negatif itu
akan memburukkan lagi keadaan. Yang penting fokus kepada apa yang aku boleh
lakukan untuk melaksanakan tanggung jawab ku.
Katalah dalam satu pertelingkahan dan kita berada
di pihak yang betul dan benar, itu pun bukan jaminan untuk kita dimenangkan dan
dibenarkan. Acap kali pihak pasangannya kita terus berusaha menegakkan
benang yang basah. Apatah lagi bila egonya tercabar. Lalu sikap kita bagaimana?
Jangan berterusan menuntut hak. Jangan memendam rasa dengan mengecam bahawa
keadaan itu tidak adil. Ingatlah, berterusan memperjuangkan kesempurnaan dalam
dunia (termasuk rumah tangga) yang tidak sempurna ini hanya akan
menjerumuskan kita ke lembah dendam, marah, kecewa dan kemurungan.
Rasa-rasa yang negatif ini akan ‘menyedut’ tenaga,
keceriaan dan akan menyebabkan kedutan pada wajah kita. Kesannya, kita akan
ditarik ke belakang. Malah kita akan ditolak ke lorong yang salah dalam kembara
kehidupan yang penuh ujian ini. Untuk bergerak ke hadapan dan terus memburu
kemajuan dalam diri agar lebih bahagia dan tenang dalam hidup… kita perlu
tinggalkan segala keegoan, kepentingan, ketakutan dan sikap tidak memaafkan.
Semua itu hanya boleh dicapai apabila kita fokus
kepada tanggung jawab dan selalu berfikir tentang apa yang perlu aku lakukan
berbanding dengan apa yang sepatutnya dia (pasangan kita) lakukan. Tumpukan
kepada apa yang boleh kita kawal, yakni tanggung jawab kita bukan pada sesuatu
yang di luar kawalan kita yakni hak kita yang ada pada kawalan pasangan kita.
Ironinya, mereka yang berjaya melaksanakan tanggung
jawab dengan baik sering mendapat haknya sebagai balasan. Dan kalau mereka
tidak mendapat balasan daripada pasangannya pun, Allah akan memberikan
ketenangan dalam hati mereka seperti mana ketenangan yang dirasai oleh Siti
Asiah isteri kepada Firaun.
ii) Sering berdamping dengan orang yang positif.
Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh
dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh
orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap
kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah
s.a.w menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.
Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita
dampingi. Jauhkan ‘toxic people’ yang sering menusuk jarum-jarum
umpatan, adu domba dan rasa pesimis dalam melayari kehidupan berumah tangga.
Pernah kita jumpa orang yang sentiasa mengeluh? Asalkan berjumpa sahaja mulalah
dia mengeluh tentang badannya yang tidak sihat, dia sering ditipu, dia dilayan
dengan buruk sampailah ke rumahnya yang sempit… Apa yang anda dapat daripada
orang yang begini?
Oleh itu jika jiran, teman atau kenalan kita ialah
dia yang tidak ‘melahirkan’ sesuatu yang baik dan positif daripada diri anda,
mengapakah tidak kita buat sedikit perubahan atau penyesuaian? Kita berhak
untuk meletakkan satu jarak yang agak jauh untuk tidak dijangkiti oleh sikap
negatifnya. Ingat, teman rapat kita ialah mereka yang membantu kita
mengeluarkan yang terbaik dari dalam diri kita. Kaki umpat, mengeluh dan
menghasut hakikatnya bukan sahabat kita walaupun kelihatan dia baik dengan
kita! Ingat pepatah Melayu lama – sokong yang membawa rebah.
iii) Jadikan sekarang masa paling gembira.
Jika orang bertanya bilakah masa yang paling
gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, “sekarang!” Usah berpaling
ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dahulu atau melangkau ke
masa hadapan dengan berkata, “bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih
stabil.” Dengan berkata demikian kita telah ‘membunuh’ potensi hari ini.
Ya, memang kita mula-mula kahwin dahulu kita
gembira, tetapi rasa gembira itu hanya pada waktu itu. Dan waktu itu telah
berlalu. Kita hanya hidup pada masa ini bukan pada masa lalu. Justeru,
jadikanlah masa ini masa yang paling gembira. Hiduplah untuk hari ini kerana
semalam sudah berlalu dan hari esok masih belum tentu. Inilah yang dipesankan
oleh Rasulullah s.a.w, jika kamu berada pada pagi jangan menunggu waktu petang
dan begitulah sebaliknya. Kita hanya akan meletihkan diri sendiri jika cuba
hidup dalam tiga masa – semalam, hari ini dan esok!
Jangan biarkan tragedi masa lalu menyengat kita
berkali-kali dengan mengenangnya selalu. Sebaliknya, carilah pengajaran yang
kita dapat daripadanya dan selepas itu terus lupakan. Juga jangan sentiasa
diingat-ingat saat gembira masa lalu kerana itu hanya memori dan itu bukan lagi
realiti yang sedang kita hadapi masa kini. Sebaliknya, carilah apakah ‘resipi’
yang menghasilkannya dahulu dan mari dengan itu kita ciptakan kegembiraan baru
hari ini!
iv) Cari jalan untuk mengatasi stres.
Stres akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran
dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu
para suami atau isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres. Antara kaedah
terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi atau minat kita. Boleh
jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging atau bersukan. Lepaskanlah
geram, kecewa dan marah kita kepada aktiviti yang menyihatkan dan menceriakan.
Jangan tahan jika anda hendak ketawa, berlari atau
melompat sepuas-puasnya. Bebaskan diri daripada belenggu tekanan dan masalah
yang menghantui hidup anda. Dengan aktiviti yang aktif dan perlakuan yang
memerlukan konsentrasi mental, fikiran, jiwa dan emosi kita akan melalui tempoh
‘pause’ atau istirahat. Lupakah kita bahawa Rasulullah saw berlumba lari dengan
isterinya?
Ini akan memberi kekuatan untuk kita meneruskan
kehidupan dengan lebih baik. Kita akan dapat melupakan seketika masalah yang
kita hadapi… bukan untuk eskapisme tetapi untuk kembali menanganinya semula
apabila jiwa kita segar, fikiran kita tenang dan emosi kita telah kembali
stabil.
v) Jangan terlalu serius.
Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius
tetapi perlu dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalanilah kehidupan dengan
sedikit gurau senda dan berhibur. Siti Aishah pernah meletak dagunya di bahu
Rasulullah s.a.w untuk melihat tarian orang Habsyah. Hiburan umpama garam
dalam masakan. Tidak perlu terlalu banyak, tetapi cukup sekadar keperluan untuk
memberi rasa yang enak. Ya, sedangkan Rasulullah s.a.w lagikan bergurau dengan
isteri-isterinya, mengapa kita tidak?
Memang banyak perkara yang penting dan kritikal
perlu kita selesaikan, tetapi itu tidak menghalang daripada kita berjenaka dan
bergurau senda seadanya dengan pasangan kita. Insya-Allah dengan unsur-unsur
humor dalam rumah tangga kita, hubungan kita suami isteri akan lebih kukuh dan
kita akan mampu bergerak lebih jauh untuk menghadapi cabaran dalam rumah
tangga. Ternyata mereka yang menangani kehidupan dengan ceria menjadi individu
yang lebih berjaya menyelesaikan konflik dalam berumah tangga seterusnya
membina rumah tangga bahagia.
Apabila rumah tangga kelihatan malap atau ‘sindrom
bisu’ mula melanda, cepat-cepatlah ubah suasana luaran itu dengan mengubah
suasana dalaman kita dengan empat cara yang dicadangkan ini. Insya-Allah, yang
penting bukan apa yang kita lihat tetapi bagaimana kita melihatnya. Orang yang
positif akan sentiasa melihat sisi positif pada pasangan dan keadaan yang
sedang dihadapinya… Mereka sahaja yang layak bahagia kerana sentiasa berfikir
untuk membahagiakan orang lain. Sebaliknya orang yang negatif, hanya akan
menyeksa dirinya dan membosankan pasangan hidupnya!
Kesimpulannya, bersangka baiklah walaupun kekadang
keadaan tidak sebaik yang kita sangkakan. Bukan menafikan realiti, tetapi demi
ketenangan hati. Orang yang buruk sangka akan tersiksa dua kali, pertama oleh
sangkanya atas keburukan yang belum terjadi. Kedua, oleh derita hatinya apabila
yang buruk itu telah benar-benar terjadi.
Apabila kita bersangka baik, hati akan menjadi
lebih tenang. Kita punya tenaga dan upaya untuk menghadapi ujian hidup apabila
kita hadapinya dengan tenang. Ya, mungkin kita tidak mampu mengubah keadaan,
tetapi sekurang-kurangnya kita punya kekuatan untuk menghadapinya. Pada hal
yang buruk dan sukar itu kekadang hanya seketika, atau boleh jadi yang buruk
itu… tidak buruk sama sekali. Ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Ada
kebaikan yang tersembunyi di belakangnya. Begitulah hidup… satu siri misteri
yang tidak dapat ditebak dan diduga. Pernah kita membayangkan suami atau isteri
kita yang ada ini sebelum ini? Kebanyakkannya tidak! Bercinta dengan orang
lain, berkahwin dengan orang lain. Itulah misterinya takdir…
Apa yang perlu kita lakukan… bersyukur dengan apa
yang ada. Bila bersyukur Allah tambah nikmat. Bersyukurlah dengan pasangan yang
ada, Insya-Allah, Tuhan akan menambah kebahagiaan kita. Kalau dia tidak berubah
perangai, kita pula yang Allah kurniakan kesabaran untuk menghadapi karenahnya.
Itu juga satu anugerah bukan? Ya, kata bijak pandai, “jangan minta hidup yang
mudah tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”
Sumber : genta-rasa.com
Subscribe to:
Posts (Atom)